Dialog Rasulullah SAW dengan Iblis Laknatullah siri 1

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allah s.w.t. telah memerintahkan seorang malaikat untuk berjumpa dengan iblis laknatullah supaya dia berjumpa dengan Rasulullah s.a.w untuk memberitahu segala rahsianya sama ada yang disukainya mahupun yang dibencinya.

HIKMATNYA adalah untuk meninggikan darjat Rasulullah s.a.w dan sebagai perisai dan peringatan kepada seluruh umat manusia.

Maka, malaikat itu pun berjumpa dengan iblis dan berkata, "Hai Iblis! Bahawa Allah Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasulullah s.a.w. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau kepadanya dan apa-apa pun yang disoal oleh baginda hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walaupun hanya satu perkataan, nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu dan uratmu serta diseksa dengan azab yang amat keras."

Sebaik sahaja mendengar kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah s.a.w.

Dari Mu'adz Bin Jabal dari Ibn Abbas.

Ketika para sahabat sedang bersama Rasulullah s.a.w di sebuah kediaman anshar, tiba-tiba terdengar suara panggilan dari luar rumah. Dia berkata, "Wahai penghuni rumah, izinkanlah ku masuk, kerana kamu akan membutuhkanku."

Rasulullah bersabda, "Tahukah kamu siapa yang memanggil itu?"

Sahabat menjawab, "Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih tahu."

Baginda melanjuntkan, "Itulah Iblis, laknat Allah bersamanya."

Kemudian Umar Bin Khattab berkata, "Ya Rasulullah, izinkan aku membunuhnya."

Nabi s.a.w menahan Umar r.a, "Sabar wahai Umar, bukankah kamu tahu bahawa Allah telah memberinya kesempatan hingga ke Hari Kimat? Lebih baik bukakan pintu untuknya, sebab dia telah diperintahkan Allah untuk ini. Fahamilah apa yang hendak ia katakan dan dengarlah dengan baik."

Ibnu Abbas r.a berkata, "Pintu lalu dibuka, ternyata dia seperti seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai (panjangnya seperti ekor lembu), taringnya seperti taring babi, bibirnya seperti bibir sapi."

Iblis pun memberi salam, sehingga tiga kali tetapi tidak juga dijawab oleh Rasulullah s.a.w. Maka sembah Iblis laknatullah, "Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak menjawab salam hamba? Bukankah salam itu mulia di sisi Allah?"

Maka jawab Nabi s.a.w. dengan marah, "Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga, Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau. Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?"

Sembah Iblis,"Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan."

Maka Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata "Ya Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu".

Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada sekalian umatku.


SOALAN NABI YANG PERTAMA
"Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku terhadap engkau?"

Jawab Iblis - "Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini"
Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan.

Sambung Iblis,"Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu.

Hamba cabutkan iktikad anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekalian umat Islam dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba"


SOALAN NABI YANG KEDUA
"Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah?"

Jawab Iblis - "Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya.

Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan ke jalan haram.

Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan (Party Liar atau pub-pub). Di situ hamba lepaskan sebesar-besar godaan supaya mereka hilang maruah dan minum arak. Apabila terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina.

Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan halang mereka supaya mereka menangguhkannya.

Bertambah keras hamba goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya, datanglah rasa riak (menunjuk-nunjuk), takbur (bangga diri),ujub (kagum diri) megah, sombong dan melengahkan amalnya.

Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat. Demikianlah hamba goda mereka setiap saat."


SOALAN NABI YANG KETIGA
"Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat untuk melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?"

Jawab Iblis - "Sekelian itu adalah anugerah daripada Tuhan Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi sebesar-besar jahat.

Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada sekalian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yang tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini beribadat bersama sekalian Malaikat beberapa lamanya.

Tiba-tiba datang firman Allah s.w.t. hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba pun membantah. Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam a.s) lalu dititahkan sekalian Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar.

============================+
Sepintas Lalu...

Bismillahirohmanirrohim...Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

...Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuh (mu), kemudian Kami berfirman kepada para Malaikat: "Bersujudlah kamu kepada Adam", maka mereka pun sujud kecuali IBLIS. Ia (Iblis) tidak termasuk mereka yang bersujud...

...Allah berfirman: "Apakah yang menghalangmu untuk bersujud (kepada Adam) pada waktu Aku menyuruh mu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada dia. Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah."...

...Allah berfirman: "Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya. Maka keluarlah! Sesungguhnya kamu termasuk orang yang hina."...

...Iblis menjawab: "Berilah tempoh kepadaku sampai waktu mereka dibangkit."...

...Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tempoh."...

...Iblis menjawab: "Kerana Engkau telah menghukum aku sebagai sesat, aku benar-benar akan (menghalang) mereka dari jalan Engkau yang lurus...

Sadakallahul'azim..

(surah al a'raf ayat 11 hingga 16)
============================+

Oleh itu, Allah murka kepada hamba dan muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa) yang memerintah sekelian bidadari.

Hamba bertambah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia.

Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan hingga Hari Kiamat.

Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yang menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka.

Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dengan berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan karut-marut.

Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan anak panah daripada api yang menyala.
Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas hasutan."

SOALAN NABI YANG KEEMPAT
"Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?"

Jawab Iblis - "Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba"

Comments